Jumaat, 8 April 2011

TANDA-TANDA (SIMPTOM) TANAMAN KEKURANGAN NUTRIEN

Sepertimana manusia, tanaman juga memberikan petunjuk awal akan kekurangan khasiat penting mereka dalam meneruskan pertumbuhan yang sihat. Tahukah anda, kira-kira 75% hingga 90% daripada berat keseluruhan sesuatu tumbuhan adalah AIR. Selebihnya adalah bahan kering yang sebahagian besarnya terdiri daripada karbon, oksigen dan hidrogen. 

Sebahagian kecil dari bahan kering ini (tetapi amat penting) adalah terdiri daripada unsur-unsur nutrien tertentu yang perlu untuk tumbesaran. Daripada 100 unsur kimia yang diketahui, hanya sebilangan kecil sahaja daripada unsur-unsur berkenaan merupakan unsur-unsur yang perlu bagi tumbuh-tumbuhan untuk membesar dengan sempurna.

Sehingga kini, terdapat 16 unsur nutrien yang didapati amat diperlukan oleh kebanyakan tumbuh-tumbuhan iaitu :



1 - Karbon (C)
2 - Oksigen (O)
3 - Hidrogen (H)
4 - Nitrogen (N)
5 - Fosforus (P)
6 - Kalium (K)
7 - Calsium (Ca)
8 - Magnesium (Mg)
9 - Sulfur (S)
10- Ferum (Fe)
11- Manganum (Mn)
12- Zinkum (Zn
13- Kuprum (Cu)
14- Boron (B)
15- Molibdenum (Mo)
16- Klorin (Cl)

Terdapat juga unsur-unsur lain yang terkandung dalam tisu tumbuh-tumbuhan tetapi bukanlah merupakan unsur-unsur yang diperlukan seperti kobaltum, aluminium, silika, natrium dan florin.


Unsur karbon diperolehi dari gas karbondioksida, sementara oksigen dan hidrogen diperolehi dari air. Bekalan ketiga-tiga unsur ini pada amnya tidak terhad dan boleh didapati dengan mudah. Namun begitu, secara keseluruhannya, tumbuh-tumbuhan sering bergantung kepada unsur-unsur ke 4 hingga ke 16 yang terdapat di dalam tanah sebagai sumber bekalan yang utama.

Tanda-tanda umum kekurangan nutrien (yang dapat dilihat) pada tumbuh-tumbuhan adalah seperti berikut:
  • Tanda-tanda yang bermula pada daun tua


Nutrien
Tanda-tanda
Nitrogen
Warna daun menjadi hijau muda dan kemudian kuning (klorosis). Ada kalanya berserta warna kemerah-merahan. Biasanya bermula dengan daun tua. Daun menjadi kecil (terbantut), ia tidak akan mati kecuali mengalami kekurangan yang melampau
Fosforus
Keseluruhan tumbuhan terbantut. Kurang cabang. Daun hijau akan menjadi lebih hijau atau kekal hijau. Sesetengah spesis akan berwarna ungu atau merah oleh kerana pertambahan berlebihan pigmen anthocyanin. Daun pramatang akan gugur. Simptomnya adalah hamper sama dengan kekurangan nitrogen
Kalium
Daun tua menunjukkan bintik-bintik nekrosis atau tepi daun melecur. Daun muda mungkin menunjukkan warna merah atau warna kekuningan antara urat daun.
Magnesium
Klorosis akan menyebabkan warna kekuningan di tepi daun atau antara urat-urat daun pada daun-daun tua . Hujung atau tepi daun ada kalanya melengkung ke atas.
Molibdenum
Tepi daun tua akan menjadi kekuningan, kemudian kecoklatan dan akan menjadi seperti melecur.

  • Tanda-tanda yang bermula pada daun muda
Nutrien
Tanda-tanda
Kalsium
Tepi dan hujung daun bergulung ke atas kemudian mati. Bahagian pertumbuhan (growing point) mati apabila garis putih timbul pada pertumbuhan baru.
Sulfur
Keseluruhan daun menjadi pucat terutamanya pada daun termuda. Saiz daun menjadi kecil dan bergulung ke bawah.
Ferum
Klorosis antara urat daun. Pada kes yang teruk, warna daun muda menjadi luntur diikuti dengan nekrosis.
Klorin
Klorosis diikuti dengan nekrosis pada daun berserta layu. Akar terbantut dan menebal pada hujungnya.
Boron
Pertumbuhan baru menjadi terbantut dan kecil. Bahagian pertumbuhan mati. Daun berbentuk tidak normal.
Zinkum
Daun menjadi kecil dan berkerdut (rosett). Dalam kes yang kurang serius, daun menjadi klorosis.
Kuprum
Daun muda menunjukkan klorosis, bergulung dan akhirnya mati. Bunga tidak terbentuk dengan normal, tidak tersenyawa dan buah tidak terbentuk.


  • Tanda-tanda yang bermula pada daun pertengahan
NUTRIEN
TANDA-TANDA
Manganum
Klorosis antara urat daun pada daun pertengahan. Dalam kes yang teruk, bintik-bintik atau jalur-jalur nekrosis mungkin terbentuk.
  




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam Akuaponik dan Salam 1Malaysia,

Semua komen/cadangan anda amat dihargai. Terima kasih diucapkan.